Ahli-ahli True Fitness Malaysia dan True Spa Malaysia hari ini menerima kejutan apabila mendapati gim tersebut telah menamatkan operasinya di Malaysia tanpa memberi sebarang notis.

Ahli-ahli gim tersebut yang tidak diberitahu mengenai penutupan tersebut, datang untuk bersenam seperti biasa tetapi terkejut kerana ia ditutup.

Hanya satu kertas yang terlekat di pintu gim memaklumkan mengenai penutupan tersebut.

Chen Yu Szen, seorang ahli gim tersebut di cawangannya di bangunan Jaya 33, berkata ia tidak beretika untuk syarikat tersebut menamatkan operasinya tanpa memberi sebarang notis.

“Kami tidak menerima sebarang notis. Kami hanya mendapat tahu hari ini bahawa mereka telah memindahkan keahlian kami kepada satu lagi pusat kesihatan atau gim sebagai ganti rugi.

“Walaupun mereka cuba untuk memberi ganti rugi, mereka sepatutnya melakukan demikian dengan memaklumkan terlebih dahulu.

“Bukan seperti ini! Kami hanya mendapat tahu mengenai penutupan ini apabila kami tiba di sini,” kata peguam itu yang bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Denise Mah, seorang lagi ahli gim tersebut berkata, True Fitness seperti tidak peduli mengenai pelanggannya.

“Mula-mula mereka menutup cawangan di Kenanga diikuti dengan cawangan di Hartamas. Apabila saya datang ke cawangan Jaya 33, ia juga ditutup.

“Saya masih di bawah kontrak setahun di mana sejumlah wang akan dipotong dari akaun saya setiap bulan. Mereka harus membayar saya balik!” kata pekerja hotel tersebut.

Arun Chockalingam, seorang lagi ahli gim itu, kecewa dengan penutupan tersebut.

“Saya kecewa. Saya perlu pergi ke gim empat kali seminggu. Itu adalah rutin saya. Jadi saya menandatangani kontrak tiga tahun dan saya baru menghabiskan setengah daripada kontrak saya.

“Jadi saya membayar selebihnya dan apa yang saya akan dapat? Tiada apa-apa?” tanyanya.

Dalam satu kenyataan di laman webnya, pusat kesihatan itu yang telah beroperasi di Malaysia selama 12 tahun, berkata penamatan operasi itu ekoran prestasi perniagaan yang tidak menguntungkan.

"Tahun-tahun sebelum ini telah terbukti mencabar, dan malangnya perniagaan ini tidak berdaya maju daripada segi kewangan kerana keadaan pasaran yang sentiasa berubah," katanya sambil menambah bahawa ia telah berusaha untuk mencari alternatif untuk ahli-ahlinya meneruskan keahlian serta sesi latihan peribadi mereka.

"True Fitness telah membeli keahlian di Chi Fitness untuk ahli-ahlinya berserta sesi latihan peribadi untuk digunakan di Chi Fitness.

"Ahli-ahli True Fitness di Malaysia akan mempunyai akses kepada semua cawangan Chi Clubs kecuali yang terletak di Bangsar, Bangsar South (Nexus) dan Northern Clubs.

"Penebusan boleh dibuat dalam talian. Kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenai cara membuat penebusan tidak lama lagi,” katanya.