Tutup

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak
Ahmad Faizal (tengah) meninjau kawasan persekitaran rumah Perakku pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Perumahan Perakku Tualang Sekah di Taman Tualang Sekah pada Khamis. - Foto BERNAMA
KAMPAR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak supaya tidak mempolemik atau mempolitikkan isu pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baharu di negeri itu.

Beliau berkata isu berkenaan perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan tidak menjadikan media sebagai platform untuk mengutarakan pelbagai pendapat yang akhirnya akan menimbulkan keresahan rakyat.
"Kita mengambil pendirian bahawa isu ini perlu dibawa kepada perhatian Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Majlis Tanah Negara untuk dibincangkan di peringkat yang lebih tinggi dan memberi maklum balas kepada kerajaan negeri untuk kita laksanakan langkah seterusnya.

"Selain itu, sehingga kini isu berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu kepada 54 penerima dan Pelancaran Rumah Perakku Fasa Dua di Taman Tualang Sekah di sini, pada Khamis.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata kerajaan negeri dijangka dapat melaksanakan pemberian hak milik kekal tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14 ) dalam masa terdekat.

Abdul Aziz berkata satu dasar terperinci dan jelas akan dibuat mengenai perkara itu, termasuk mengenai harga premium tanah yang akan diberikan hak milik kekal dan keputusan mengenai pemberian tersebut akan diumumkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata sehingga kini, kerajaan negeri telah menyiapkam hampir 7,000 unit Rumah Perakku manakala 11,311 unit rumah sedang dalam pembinaan dan 35,000 unit lagi dalam perancangan bagi mencapai sasaran membina 50,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Dasar Perumahan Negeri Perak (DPNP) 2019, memperkenalkan beberapa insentif serta pengecualian caj Pihak Berkuasa Tempatan kepada pemaju dan usaha itu secara tidak langsung memastikan pembangunan rumah mesra milik lebih rancak dibangunkan oleh agensi kerajaan dan swasta.

Katanya bermula tahun 2020 juga, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak akan melaksanakan program Skim Tanah Lot Perumahan Perakku di kawasan pinggir dan luar bandar dengan pelaksanaan melalui perkongsian dana pembangunan antara peserta.

"Apa yang menariknya, pemohon yang layak bukan sahaja boleh memperolehi lot-lot perumahan ini pada harga 50 peratus lebih rendah daripada pasaran, tetapi siap dengan infrastruktur. Semoga usaha ini akan memberikan manfaat kepada keluarga dari golongan sasar untuk memiliki rumah pertama yang selesa.

-- BERNAMA