Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan semua pihak supaya menghentikan segera perbuatan menyalakan api perkauman dan meniupkan bara permusuhan antara agama.

Titah baginda, undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa dan harta benda warga yang tidak berdosa terjamin dilindungi.

Baginda menzahirkan kebimbangan mengenai pelbagai provokasi keterlaluan yang berlaku sekarang, sehingga bara perkauman semakin disemarakkan dan api permusuhan antara agama semakin dinyalakan.

Titah baginda, kebenaran fakta dan kesahihan berita tidak lagi dipentingkan, sebaliknya emosi semakin mempengaruhi diri, termasuk dalam kalangan terpelajar.

“Minda warga semakin diracuni, hinggakan warga menjadi terlalu taksub, semakin berminda tertutup.

“Setiap insiden, daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah, atau seorang majikan di pejabat, warna baju yang dipakai oleh pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian, dilihat dan ditafsirkan secara negatif, menurut dimensi kaum dan agama.

“Keadaan ini amat tidak sihat, meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan,” titah baginda sempena sambutan Maal Hijrah 1441 peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

BACA: Titah Sultan Nazrin sempena Maal Hijrah 1441

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Ja’afar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idrin Shah.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; beberapa anggota Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat.

Sultan Nazrin bertitah, suhu panas ini wajib segera diturunkan kerana ia umpama pemasangan bom jangka yang menantikan masa untuk meletup.

“Majoriti warga di negara ini cintakan keamanan. Mereka semakin resah - semakin gelisah, berasa bimbang - berasa takut.

“Sedarilah! Serpihan daripada letupan bom jangka ini, tidak mengenal mangsa, malah anak cucu serta kaum kerabat pemasang bom jangka, turut terdedah kepada akibat daripada perbuatan-perbuatan berfikiran singkat,” titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441 kepada bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah.

Penerima lain ialah Pengerusi Tetap PERKIM Kebangsaan, Datuk Dr Abu Shaari (Anugerah Ar-Ridzuan), Pengurusan Masjid Jamek Pengkalan Hulu (Pengurusan Masjid Terbaik) dan Pengurusan Tanah Perkuburan Pekan Kecil Tapah Road (Pengurusan Perkuburan Islam Terbaik).