“Hentikan pembakaran hutan demi penanaman kelapa sawit. Ia membunuh orang utan dan haiwan yang lain kerana ia merupakan habitat mereka.”

Demikian ungkapan pakar konservasi terkemuka dunia, Dr Jane Goodall yang mengulas mengenai kelestarian penghasilan minyak kelapa sawit.

Saranan tersebut diungkitkan bagi menyaran mengingatkan warga dunia agar tidak lagi memusnahkan hutan hanya demi mendapatkan minyak kelapa sawit.

“Jangan lagi memusnahkan hutan demi penanaman kelapa sawit!

“Pindahkan ladang kelapa sawit baharu di tapak hutan lama dan biarkan hutan tersebut hidup kembali, jika ia belum dimusnahkan terlalu lama,” kata Goodall pada sesi soal jawab dalam pertemuan dengannya pada Khamis.

Turut hadir ialah Presiden Program Anugerah 'Roots & Shoots Malaysia', TP Lim dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari.

Dari kiri, Shahira Ahmed Bazari, Dr Jane Goodall dan TP Lim. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

Tegasnya, kemusnahan hutan membunuh orang utan dan haiwan lain kerana ia merupakan habitat asal mereka.

“Kita sungguh angkuh.

“Hanya kerana kita ingin mendapatkan minyak kelapa sawit, kita membunuh orang utan dan habitat orang utan,” tegasnya.

Sebelum ini, Kesatuan Eropah mengenakan sekatan terhadap penggunaan komoditi tersebut sebagai usaha membendung penebangan hutan.

Namun, pada Selasa, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dakwaan yang mengaitkan penanaman kelapa sawit dengan penebangan hutan adalah tidak wajar kerana tanaman tersebut ditanam di tanah yang ditetapkan.

BACA: CPOPC desak WTO campur tangan isu diskriminasi minyak sawit - Tun Mahathir

Dalam perkembangan lain, apabila ditanya tentang ancaman terhadap alam sekitar yang paling serius, Goodall berkata ia merupakan krisis iklim.

“Isu krisis iklim menjejaskan warga dunia dan kami perlu membentuk pasukan untuk menangani masalah yang membawa kepada krisis iklim ini,” katanya.