Keputusan kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dilihat tidak menyalahi undang-undang. Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia tidak bercanggah dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan atas nasihat perdana menteri. "Ikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dengan pengecualian sangat terhad, perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti termaktub dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi Twitternya hari ini.