Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu spekulasi berkenaan dirinya bakal menjadi Perdana Menteri satu hari nanti agar dihentikan.

Desas-desus itu didakwa ada disebutkan dalam beberapa siri ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Katanya, beliau secara peribadi tidak pernah mendengar ucapan itu yang dikatakan dibuat oleh ‘orang dalam’.

“Tidak ada, itu cerita orang. Itu cerita ceramah-ceramah sebagai lauk tambah, jangan panggil saya PM (Perdana Menteri). Orang akan 'bunuh' saya cepat.

“Saya tak dengar ceramah mereka. Kalau saya ada di situ, saya suruh dia diam. Tetapi kalau mahu bercakap perkara yang baik-baik tentang parti, teruskan.

“Tak pernah terlintas dalam fikiran saya. Saya harap rakan-rakan saya tidak cakap tentang itu,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau, Negeri Sembilan.

Terdahulu, bekas presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam meramalkan kemenangan BN pada PRK Rantau akan menjadi titik permulaan kepada peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah beliau juga menjangkakan Mohamad Hasan bakal dipilih sebagai presiden UMNO seterusnya dilantik sebagai perdana menteri sekiranya BN berkuasa semula.

Dalam pada itu menurut Mohamad, perkara itu hanya akan mendatangkan spekulasi yang tidak sihat.

“Saya tidak dapat meramal masa depan. Itu terpulang. Kita merancang Allah sahaja yang tahu. Kita jangan kejar bayang-bayang.

“Jangan buat macam itu. Tak baik menyebabkan spekulasi-spekulasi yang tidak sihat. Please don’t say that.

“Bukan sahaja orang luar, orang dalam akan siap asah pisau tajam-tajam, akan tikam saya,” selorohnya.