Tutup

Hidu bau busuk dalam kebun, jumpa mayat berulat

Hidu bau busuk dalam kebun, jumpa mayat berulat
Mayat tidak beridentiti itu ditemukan tidak memakai baju dan hanya memakai seluar, malah tiada sebarang senjata atau barang lain dijumpai. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kebun terkejut apabila bau busuk yang dihidu di kebunnya di Jalan Sungai Lalang, Semenyih rupanya berpunca daripada mayat seorang lelaki yang telah berulat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, pihaknya menerima laporan pada pukul 6 petang, Khamis.
“Pekerja kebun itu menyedari kejadian setelah terhidu bau busuk dari arah kebun dan setelah menyusuri dia mendapati terdapat satu mayat lelaki yang tidak diketahui identiti dalam keadaan tertiarap ke tanah.

“Kali terakhir pekerja itu dan majikannya melawat tanah kawasan itu adalah pada bulan lepas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Ahmad Dzaffir berkata Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Unit K9 dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah digerakkan ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat tidak beridentiti itu ditemui tidak memakai baju dan hanya memakai seluar malah tiada sebarang senjata atau barang yang dijumpai.

“Kawasan tanah ini tidak berpagar dan terdapat beberapa unit bangunan didirikan di bahagian depan tanah tersebut manakala sebahagian dijadikan dusun buah-buahan.

“Jarak antara rumah atau bangunan akhir yang dibina dengan lokasi mayat dijumpai dalam lingkungan 200 meter,” jelasnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Derah Kajang di talian 03-89114222.