Tutup

Hilang empat jari angkara mesin tebu

Hilang empat jari angkara mesin tebu
Empat jarinya terputus terus manakala ibu jarinya putus sedikit di bahagian atas dan tidak mengalami kecederaan di bahagian lain. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang lelaki hilang empat jari selepas tangannya terperosok ke dalam mesin tebu ketika menjual air itu dalam kejadian di Kampung Dewan Beta, di sini petang Rabu.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Osman Ya, 50, putus empat jari, luka ibu jari selain tapak tangannya turut lumat setelah tangan kanannya terperosok ke dalam mesin.
Katanya, sebelum kejadian, dia sedang membersihkan hampas yang terlekat pada celah mesin sebelum menutup jualannya yang menjaja air tebu di tepi jalan kampung itu bagi mencari rezeki lebih di bulan Ramadan.

"Saya jual air tebu dah masuk enam tahun dan sentiasa beringat, tapi nak 'geroh' (tak sengaja) saya terlalai, lupa nak tutup suis sebelum bersihkan mesin.
"Masa saya tengah bersih tu, dengan pantas tangan saya terus ditarik ke dalam mesin, digilis macam batang tebu cuma saya sempat tutup suis dan menjerit panggil anak untuk undur mesin bagi mengeluarkan tangan kanan yang sudah hancur," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, di sini, pada Khamis.

Lebih tragis kejadian berdarah itu turut disaksikan di depan mata dua anaknya iaitu anak ketiga, Mohd Syahmi Osman,16 dan anak bongsunya, Mohd Shakir Imran,10 yang membantunya berniaga air tebu.

Katanya, empat jarinya terputus terus manakala ibu jarinya putus sedikit di bahagian atas dan tidak mengalami kecederaan di bahagian lain.

"Selepas jari digilis, saya terus menjerit meminta tolong dan anak saya mengundurkan mesin supaya saya dapat keluarkan tangan dan saya tengok jari-jari saya putus dan jatuh ke lantai.

"Saya cuma rasa kebas dan balut tangan dengan kain dan minta penduduk bawa ke Klinik Lundang Paku dengan menaiki kereta sebelum dihantar ke hospital ini," katanya yang tinggal di Kampung Serian,kira-kira satu kilometer dari lokasi dia menjual air tebu.

Osman berkata, beberapa hari lalu, dia baru saja membaiki mesin tebu itu bagi membolehkan mesin itu memerah lebih banyak air dengan kos hampir RM500.

"Dulu mesin terbuka seinci dan saya kena mesin batang tebu tiga kali untuk keluarkan semua air, jadi saya rapatkan mata mesin dan dapat perah air sekali saja.

"Itu yang menyebabkan mata mesin turut menggilis jari saya sehingga hancur, namun saya syukur saya tak panik dan sempat matikan suis bagi mengelakkan tangan terus digilis dan hanya bahagian tapak tangan yang cedera," katanya yang bekerja kampung menanam padi dan memelihara lembu bagi menyara isteri, Romah Dollah, 52 dan lima anak berusia antara 21 hingga 10 tahun.

Sementara itu, anak sulungnya, Noor Nazirah Osman, 21 berkata, sebaik mengetahui kejadian yang menimpa ayahnya, dia yang sedang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka itu, terus pulang ke kampung.

Katanya, menurut doktor yang merawat bapanya, semua urat jari bapanya sudah terputus dan tidak boleh disambung kembali.

"Sekarang ayah banyak bertahan dengan ubat tahan sakit dan akan jalani pembedahan menampung kulit tapak tangan dengan mengambil kulit paha dalam masa terdekat," katanya.


Tag: mesin tebu, jari hancur digilis, digilis mesin tebu, ramadan, osman ya, peniaga



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.