Polis hari ini mengesan satu laporan palsu yang dibuat seorang wanita yang mendakwa dirinya telah disamun semasa berada di hadapan sebuah bank di Seremban 2, di sini, dalam kejadian 6.15 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pejabat pertanyaan Balai Polis Seremban 2 telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh wanita itu pada pukul 1.16 petang.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, wanita berusia 48 tahun itu dipercayai sengaja membuat laporan palsu semata-mata untuk mendapatkan salinan laporan polis bagi menggantikan dokumen pengenalan diri selain mengelak daripada didenda.

Beliau berkata, justeru itu, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana ia adalah satu perlakuan jenayah yang menyusahkan pihak polis sehingga terpaksa menyiasat kes yang tidak pernah berlaku," katanya dalam kenyataan di sini.

-- BERNAMA