"Banyak kereta polis berada di lokasi kejadian pada waktu pagi sehari selepas kehilangan Amri Che Mat selain kereta milik mangsa juga berada di situ."

Itu antara penjelasan Che Ros Che Kassim, 55, yang merupakan antara saksi terawal kes misteri kehilangan penaung Perlis Hope itu.

Jelas Che Ros, dia hadir ke warung miliknya yang terletak betul-betul di depan lokasi kereta milik Amri ditinggalkan.

"(Saya berada) di Jalan Kangar-Padang Besar pada hari tersebut, kira-kira jam 6.30 pagi dan mendapati kereta polis telah memenuhi lokasi tersebut.

Tegasnya, dia hanya mengetahui berita tentang kehilangan Amri beberapa hari selepas itu.

Malah menurutnya, dia tidak mengetahui apa yang berlaku pada malam kejadian memandangkan warung miliknya tidak beroperasi pada hari itu.

"Saya datang ke kedai, nampak kereta polis banyak, itu sajalah. Pagar biru ini dulu belum ada lagi, jadi jelas nampak kereta itu... Pajero biru, tak silap saya.

"Malam itu, saya memang tak tahu apa-apa. Tiba-tiba (lokasi itu) penuh dengan polis. Selepas dua tiga hari, baru saya tahu ada kes."

Amri yang juga seorang aktivis sosial hilang sejak 24 November 2016 sebelum kereta miliknya ditemukan di sebuah tapak pembinaan terbengkalai di Jalan Kangar-Padang Besar.