Tutup

Himpunan 405 tuntut Peguam Negara letak jawatan, didakwa gagal pertahan institusi diraja

Himpunan 405 tuntut Peguam Negara letak jawatan, didakwa gagal pertahan institusi diraja
Asyraf Wajdi ketika berucap pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas digesa meletak jawatan atas dakwaan gagal mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang menimbulkan provokasi terhadap institusi diraja.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapannya pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 (Himpunan 405) berkata kebangkitan ummah tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang cuba menyentuh institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Negara.
"Kita mesti tuntut Tommy Thomas meletak jawatan. Beliau tidak layak menjadi peguam negara. Beliau telah membiarkan Raja-Raja Melayu dihina sama dengan Tengku Mahkota Johor," kata Asyraf Wajdi.

Himpunan 405 anjuran Gerakan Pembela Ummah di ibu negara petang tadi turut disertai pemimpin parti politik UMNO, Pas dan Berjasa serta 10 badan bukan kerajaan (NGO).
Perhimpunan yang bermula jam 1.40 petang Sabtu menyaksikan kira-kira 3,000 peserta berkumpul di sekitar Masjid Jamek sebelum berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman kira kira 20 minit kemudian.

Peserta yang hadir rata-rata memakai kemeja-t berwarna putih dengan tulisan "Daulat Tuanku dan raja-raja Melayu."

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya menyentuh tentang tuduhan yang dikenakan terhadap penceramah terkenal Zakir Naik.

Kerajaan, menurutnya, digesa agar tidak mengambil tindakan terhadap penceramah itu dengan menghantar beliau pulang ke India.

"Tolong pertahankan Zakir Naik. Kerajaan Malaysia jangan pulangkan dia ke India. Hari ini kita pertahankannya," kata Tuan Ibrahim sambil menambah bahawa satu memorandum berhubung perkara itu akan diserahkan kepada Parlimen dan Yang Dipertuan Agong.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.