Polis telah sudah membuka 10 kertas siasatan berhubung kes penghinaan terhadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat ini siasatan lanjut sedang dilakukan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk pandangan dan arahan selanjutnya.

Katanya, setakat ini sudah lima tangkapan dibuat dan suspek sudah direman untuk siasatan lanjut.

Selain itu, pihaknya juga sedang mengesan beberapa Individu lain yang melakukan kesalahan sama memuat status penghinaan dan mereka dipercayai masih berada dalam negara.

"Belum ada tangkapan baru. Cuma yang kita ada 10 siasatan yang telah kita buat itu ada di antara mereka telah kita reman dan kita tunggu keputusan daripada pendakwaraya," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan seorang suspek yang ditahan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan mempunyai masalah mental, Mazlan berkata, pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada benar mempunyai rekod sakit mental atau tidak.

"Dia jawab di mahkamah kemudian. Dia boleh dakwa dia sakit apa pun, terpulang kepada pihak mahkamah untuk tentukan dia sakit mental ke tidak atau sebagainya.

"Pandai dia menulis dalam media sosial, pandailah dia menjawab di mahkamah nanti," katanya kepada media selepas majlis Serah terima tugas Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, Datuk Sahabudin Abdul Manan menggantikan T Narenasagaran yang bersara wajib di Dewan Mutiara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown pada Selasa.

Sebelum ini, polis telah menahan seorang lelaki kerana menghina Yang Di-Pertuan Agong di Facebook miliknya.

Bagi kesalahan itu lelaki terbabit disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan, iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis juga sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa lagi akaun media sosial yang melakukan perkara yang sama.

Antara akaun yang dikenalpasti ialah akaun Twitter Fadiah Nadwa Fikri, serta akaun Facebook dengan nama 'Haizad Azhar'.

Siasatan diklasifikasikan di bawah seksyen 4(1) (a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.