Pemuda UMNO hairan dengan sikap membisu Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu terhadap tindakan Nga Kor Ming yang memuat naik lukisan karikatur di akaun Facebooknya yang menghina Aidilfitri baru-baru ini.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, ia sekali gus menimbulkan tanda tanya pendirian pemimpin PAN itu terhadap ahli Parlimen Taiping yang jelas menghina agama Islam.

"Pemuda UMNO mahu tanya Mat Sabu, apakah pendirian PAN bila Kor Ming dengan mudah memuat naik lukisan yang menghina Aidilfitri dan kemudian memadamkannya.

"Kenapa Mat Sabu diam sahaja? Atau dia memang sengaja tidak mahu membela agama Islam yang jelas dihina pemimpin DAP itu," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul Azwan berkata demikian ketika mengulas sikap Mohamad Sabu yang dilihat tidak memberi sebarang kenyataan terhadap tindakan Kor Ming yang jelas menghina Aidilfitri.

Pada Selasa, Khairul Azwan serta 700 ahli Pemuda UMNO lain menyertai perarakan mendesak Kor Ming meminta maaf di ibu pejabat DAP.

Perbuatan Kor Ming turut disifatkan permainan politik kotor yang sengaja mahu membakar keharmonian kaum negara yang dinikmati selama ini.

Bagaimanapun, Kor Ming sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa lukisan karikatur dimuat naik di akaun Facebook yang menghina Aidilfitri adalah miliknya, sebaliknya mengatakan ia adalah permainan politik untuk menjatuhkannya.

Kor Ming turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang seolah-oleh menyokong politik kotor hanya untuk mencemar nama baik parti DAP.

Sebelum ini Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, ketiadaan pemimpin DAP yang mengecam perbuatan Kor Ming yang memuat naik status dalam akaun Facebook miliknya dan menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri dilihat menghairankan.

Selain itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, tindakan Kor Ming itu dilihat cubaan mengalih pandangan rakyat dalam isu rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Jelasnya, ia sekali gus tindakan melulu dan tidak memikirkan sensitiviti umat Islam yang sedang merayakan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.