Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Ismath kerana dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran kes itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kes itu.

Berikutan itu, PDRM telah membuka siasatan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948, oleh USJT, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan ekoran kejadian itu Tunku Azizah telah menyahaktif akaun Twitter rasmi milik baginda, sehingga menjadi tular di media sosial.

-- BERNAMA