Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sekali lagi memberi amaran kepada sindiket atau individu yang menggunakan kanak-kanak untuk tujuan mengemis agar berhenti berbuat demikian.

Timbalan Menteri Hannah Yeoh menegaskan, kanak-kanak di bawah 18 tahun tidak dibenarkan digunakan oleh sesiapa, termasuk penjaga mereka, untuk mengemis atau menjual barangan.

Katanya, ini termasuk kanak-kanak yang mengenakan uniform atau mengutip derma bagi pihak badan bukan kerajaan (NGO), kecuali NGO tersebut mempunyai permit khas bagi tujuan mengutip derma.

Pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, Hannah turut menyeru orang ramai agar tidak menunjukkan sokongan kepada penggunaan kanak-kanak untuk aktiviti seumpama ini dengan memberi derma kepada mereka.

“Kalau disabitkan, orang yang menggunakan kanak-kanak ini melakukan satu kesalahan. Dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000, atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Selagi kita rasa kasihan dan hendak bagi duit kepada kanak-kanak itu, selagi itu sindiket ini akan terus berjalan dan menggunakan kanak-kanak.

“Jadi, jangan sokong orang yang menggunakan kanak-kanak untuk kutip derma ataupun mengemis,” katanya.

Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menjelaskan kanak-kanak di bawah 18 tahun tidak dibenarkan mengemis, menerima sedekah atau melakukan aktiviti seperti menyanyi, bermain, membuat persembahan untuk mendapatkan derma atau menawarkan barangan untuk jualan.

Mereka juga tidak dibenarkan menjalankan penjajaan yang menyalahi undang-undang, loteri haram, perjudian atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu.