Tutup

Hindraf mahu perlindungan tambahan bagi Waytha Moorthy

Hindraf mahu perlindungan tambahan bagi Waytha Moorthy
Penyokong Hindraf dikatakan amat bimbang kerana sebelum ini terdapat serangan ke atas Waytha di pejabatnya pada 16 Ogos, 2017. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hindraf menghargai kejayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mematahkan serangan pengganas dan pembunuhan baru-baru ini, namun pada masa yang sama ia juga mahu Ketua Polis Negara (KPN) memberi pertimbangan menyediakan perlindungan keselamatan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Penasihat undang-undang Hindraf, Karthig Shan dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, perkara yang membimbangkan ialah pengganas yang ditahan awal bulan ini mempunyai niat untuk membunuh beberapa personaliti berprofil tinggi berikutan dakwaan kononnya mereka gagal menyemangati Islam dan mempersendakan agama itu.
Beliau berkata, penyokong Hindraf amat bimbang kerana sebelum ini terdapat serangan ke atas Waytha di pejabatnya pada 16 Ogos, 2017 sebelum beliau menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebelum Pilihan Raya Umum ke14.

Beliau berkata, Waytha sekali lagi disasar semasa perhimpunan ICERD dan dijadikan kambing hitam semasa isu rusuhan kuil Seafield dan seterusnya kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim.
Semalam, KPN Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberitahu persidangan akhbar bahawa polis telah menahan empat orang disyaki menjalani aktiviti pengganas. Keempat-empat mereka dipercayai adalah anggota Daesh, dikatakan merancang untuk melakukan serangan pengganas ke tempat-tempat sembahyang bukan Islam dan akan menuntut pembelaan di atas kematian Muhammad Adib semasa rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman tahun lepas.

-- BERNAMA

Tag: Polis DiRaja Malaysia, PDRM, Hindraf, serangan pengganas, Ketua Polis Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, penasihat undang-undang Hindraf, Karthig Shan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.