Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr berhubung kenyataan kontroversinya mengenai Sabah baru-baru ini.

Hishammuddin menerusi satu ciapan di akaun Twitter miliknya menyifatkan kenyataan Locsin itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Wisma Putra memanggil Duta Filipina ke Malaysia, Charles C. Jose pada Isnin untuk menjelaskan isu tersebut.

“Sabah merupakan dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia,” tegasnya.


Ahad lepas Locsin membuat hantaran “Sabah is not in Malaysia if you want to have anything to do with the Philippines”. (Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia jika anda ingin berurusan dengan Filipina).


Beliau membuat kenyataan itu sebagai maklum balas kepada hantaran Twitter Kedutaan Amerika Syarikat di Filipina berkenaan sumbangan 500 kit kebersihan diri kepada rakyat Filipina yang dihantar pulang oleh Sabah dan tiba di Zamboanga City dan Bongao di Tawi Tawi.