Perkhidmatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak terganggu dan berjalan seperti biasa walaupun berlaku kebakaran di stor Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), kata Pengarah HKL Datin Dr Nor Akma Yusof.

Beliau berkata, pemindahan dan evakuasi pesakit, kakitangan dan pelawat daripada bangunan berdekatan telah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, punca kebakaran dan kerosakan masih dalam siasatan dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi selain menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai perkara ini.

BACA: IPFN HKL terbakar!

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menggerakkan enam jentera dengan kekuatan 40 anggota bagi operasi memadam kebakaran.