Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan keputusan Peguam Negara untuk mengkaji semula hukuman Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara tersebut perlu dihormati kerana ianya dibuat berdasarkan peruntukkan perundangan negara yang sedia ada.

"Jika kenyataan Peguam Negara dipolitikkan, maka kita tidak ada asas untuk menolak kerana apa yang ada pada agenda A-G adalah untuk menegakkan kemenangan, bukan untuk mempolitikkan sesuatu isu dan terjebak dengan isu yang dipolitikkan.

"Ini seharusnya tidak dilihat sebagai isu politik oleh sesiapa sahaja termasuk pembangkang," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Khas bersama UMNO Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang akan memulakan kempen di media sosial bagi memperoleh seberapa banyak sokongan rakyat bagi menolak cadangan meminda OSA.

Kempen tersebut juga menuntut supaya Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengusulkan cadangan tersebut supaya bertindak secara bebas, telus dan adil.

Semalam, Mohamed Apandi dilaporkan sedang menimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman terhadap mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Menurut beliau, wartawan yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka perolehi juga boleh dikenakan tindakan tersebut.

Dalam pindaan itu, Mohamed Apandi melihat kepada kemungkinan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan bagi mereka yang didapati bersalah.