Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Hospital kerajaan di Selangor peroleh sijil HACCP dan GMP

Hospital kerajaan di Selangor peroleh sijil HACCP dan GMP
Dr Khalid berkata, pensijilan dapat memastikan makanan yang disediakan di dapur hospital terkawal dari pencemaran dan selamat.
SHAH ALAM: Tujuh buah dapur hospital kerajaan di Selangor berjaya memperoleh pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) manakala 11 dapur lagi mendapat pensijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP) sejak 2006, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Beliau berkata HACCP dan GMP merupakan sistem jaminan keselamatan makanan yang memenuhi keperluan dan kehendak global dalam isu keselamatan makanan.
"Pelaksanaan sistem ini adalah berdasarkan piawaian badan antarabangsa yang bertanggungjawab ke atas keselamatan makanan iaitu Codex Alimentarius Commission.

"Sistem HACCP dan GMP dilaksanakan di dapur hospital secara bersinergi bermula dari pemilihan bahan mentah, penyimpanan, penyediaan, pemprosesan, plating sehingga menghidang kepada pesakit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata dengan pemerolehan kedua-dua sijil tersebut, ia memberi jaminan sehingga kini tiada pesakit yang dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan yang disediakan di dapur hospital terbabit.

Menerusi pensijilan itu, katanya, ia akan dapat memastikan makanan yang disediakan di dapur hospital terkawal dari pencemaran selain makanan yang dihasilkan adalah selamat.

"Adalah diharapkan dengan pensijilan HACCP dan GMP di dapur hospital kerajaan, ia akan turut menjadi pemangkin kepada dapur hospital swasta untuk turut terlibat dalam mengamal dan melaksanakan kedua sistem tersebut," katanya.

-- BERNAMA