Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan semua pihak terutama mereka yang akan menyambut perayaan Thaipusam Sabtu ini supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan awal bagi mengelak daripada dijangkiti wabak novel koronavirus.

Ini termasuk mengutamakan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan, memakai penutup mulut dan hidung selain mengelak daripada hadir ke majlis perayaan sekiranya mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selsema.

Bagi memastikan semuanya berjalan lancar, pusat operasi perubatan telah diselaraskan di Hospital Selayang.

Pusat operasi yang terdekat dengan Batu Caves itu kini bersiapsiaga bagi menangani sebarang kemungkinan situasi kecemasan yang dikaitkan dengan wabak itu.

Dianggarkan seramai 1.6 juta hadir di Batu Caves bagi menyambut Thaipusam tahun lalu.

[LAPOR LANGSUNG] Angka kematian mencecah 565 di seluruh dunia


Sementara itu Dr Dzulkefly meminta agar rakyat tidak terlalu bimbang mengenai wabak novel koronavirus (2019-nCoV) itu kerana kementeriannya masih dalam fasa pembendungan dan belum pada tahap mitigasi.

“Kami menjalankan segala usaha untuk mengambil langkah menguji lebih ramai lagi (pesakit yang mempunyai gejala koronavirus), kita masih lagi mampu melakukan sedemikian.

"Diharapkan negara tidak akan memasuki tahap mitigasi, iaitu tahap yang susah untuk dikawal.

“Saya diingatkan, kalau sampai ke peringkat di luar kemampuan, katil di luar kemampuan, kriteria-kriteria itu belum lagi, insya Allah belum lagi,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Ketika ditanya mengenai perkembangan seorang remaja Kanada yang pengsan kerana dikhuatiri positif novel koronavirus di KLCC pada Rabu, beliau mengesahkan remaja itu negatif koronavirus dan telah didiscaj daripada hospital.