Hospital Sungai Buloh menerima empat mesin hemodialisis yang baru susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu penambahan kemudahan rawatan itu di hospital terbabit semasa membuat lawatan mengejut 22 Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, ia menjadikan jumlah mesin hemodialisis di hospital berkenaan bertambah kepada 37 unit buat masa ini.

"Dengan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 22 Januari lalu kita telah dijanjikan dengan empat mesin hemodialisis Hospital Sungai Buloh. Sementara waktu ini kita ada 58 pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di sini," katanya kepada Astro AWANI selepas Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Hospital Sungai Buloh di sini, hari ini.

Dr Khalid berkata, dengan penambahan empat mesin hemodialisis itu, pihaknya mampu menambah 24 lagi pesakit baru yang masih menunggu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkenaan.

"Ia menjadikan 19 pesakit yang masih menunggu rawatan buat masa sekarang akan dimasukkan serta-merta ke dalam program hemodialisis di Hospital Sungai Buloh. Ini suatu yang mengujakan bagi kami," kata beliau.

Katanya, ketika ini terdapat 25 buah mesin hemodialisis di hospital berkenaan yang berusia sepuluh tahun dan dikategorikan sebagai sudah mencecah tempoh luput operasi serta memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Tambahnya, penambahan empat mesin baharu mampu mengurangkan tempoh menunggu di kalangan pesakit.

Selain itu, pihaknya juga berusaha untuk memastikan rawatan hemodialisis itu dilakukan sebanyak tiga shift sehari bagi memastikan pesakit baru turut mendapat rawatan.

"Satu mesin makan masa tiga hingga empat jam. Penambahan shift boleh menambah pesakit untuk menjalani hemodialisis. Kerjasama PERKESO dan NGO diharap dapat membantu menambah jumlah mesih berkenaan di hospital kerajaan dan Kementerian Kesihatan juga boleh menambah jumlah tenaga kerja," ujarnya.

Untuk rekod, terdapat lebih 2.5 juta pesakit buah pinggang dicatatkan di seluruh negara.