'Hotel kucing' menjadi pilihan buat si bulus

'Hotel kucing' menjadi pilihan buat si bulus
Setiap kucing yang dihantar perlu mengikuti syarat yang ditetapkan iaitu sudah divaksinkan, tidak sakit dan tiada kutu demi menjaga kesejahteraan kucing-kucing lain. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG
BANGI: Pemilik kucing pasti berdepan dengan dilema untuk meninggalkan si manja kerana ingin pulang beraya di kampung saban kali musim perayaan tiba.

Namun, perkara ini tidak lagi menjadi masalah apabila pemilik boleh menghantar haiwan peliharaan mereka ke pusat jagaan kucing atau ‘hotel kucing’ yang semakin popular.

‘Hotel kucing’ semakin mendapat sambutan dan sememangnya dijadikan penyelesaian untuk memastikan haiwan berbulu kesayangan sentiasa terjaga takkala pemiliknya tiada di rumah untuk jangka masa yang panjang.

Pemilik Jhan Veterinary Clinic, Dr Nor Nazihah Ahmad Ruslan mengambil keputusan untuk membuka klinik yang juga ‘hotel kucing’ tersebut tujuh tahun yang lalu selepas mendapat permintaan daripada pelanggannya.



“Sepanjang kami beroperasi, sambutan amat menggalakkan kami mendapat tempahan penuh untuk ‘boarding raya’ seawal dua minggu pertama pada bulan Ramadan.
“Harga memang berbeza sedikit semasa musim perayaan di mana terdapat kenaikan harga sebanyak RM2 sahaja daripada harga biasa iaitu RM18.

“Saya rasa harga ini agak berpatutan kerana kami memberikan makanan premium iaitu makanan Royal Canin dan terdapat empat hingga lima orang petugas yang bergilir-gilir untuk menjaga kucing sepanjang tempoh musim perayaan ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada pagi Selasa.



Hotel ini boleh memuatkan sehingga 150 ekor kucing yang lengkap dengan kelengkapan seperti pendingin hawa, sangkar kucing dan perkhidmatan doktor.

‘Bilik-bilik’ kucing di hotel tersebut sementara musim perayaan Aidilfitri sudah ditempah penuh sejak awal Ramadan lagi.



Menurut Nor Nazihah lagi, dengan kos RM20 sehari bagi seekor kucing, hotel haiwan ini turut menawarkan pakej istimewa bagi mereka yang mempunyai ibu kucing dan anak-anak kucing.

“Kami mempunyai pakej untuk ibu kucing dan anak-anak kucingnya. Tanpa mengambil kira berapa anak kucingnya, kami akan mengenakan harga RM30 semalam.

“Kami tahu bahawa anak kucing ini makan sedikit dan ibunya masih menyusukannya lagi.

“Ada sesetengah pemilik yang bawa makanan sendiri dan kami benarkan mereka berbuat demikian,” tambahnya.

Setiap kucing yang dihantar perlu mengikuti syarat yang ditetapkan iaitu sudah divaksinkan, tidak sakit dan tiada kutu demi menjaga kesejahteraan kucing-kucing lain.



Dalam pada itu, kucing yang dihantar dilayan seperti raja membuatkan pemilik kucing, Abdul Muda Kunsial berasa perbelanjaan sebanyak RM2,000 seminggu buat penginapan sementara 10 ekor kucingnya berbaloi.

“Tahun ini sudah memasuki tahun ketiga saya menghantar kucing saya ke sini kerana mereka.

“Bagi saya berbaloi kerana penjagaan oleh petugas yang ada memang profesional dan lebih terjaga berbanding apa yang saya buat. Mereka boleh membuat pemantauan 24 jam

“Tahun ini saya balik kampung di Sabah dan saya memang kena menaiki kapal terbang untuk balik dan tidak dapat bawa kucing-kucing saya bersama,” katanya.

Walaupun berjauhan dengan si comelnya, Abdul Muda tidak risau dengan keadaan dan keselamatan kucingnya kerana diberikan penjagaan yang rapi di hotel kucing tersebut.

Tag: Hotel Kucing, Jhan Veterinary Clinic, Nor Nazihah Ahmad Ruslan, kucing, si bulus, si manja, Ramadan, Aidilfitri, hotel


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.