Hospital Sultanah Aminah (HSA) ialah antara hospital terbaik di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Jabatan Kecemasan (ED) telah menunjukkan 97.6 peratus persediaan ambulans dan tempoh penghantaran bagi respon segera dicapai dalam masa kurang lima minit.

"Sejak Januari hingga Julai tahun ini, jabatan itu telah menerima 6,215 panggilan ambulans Tahap I (kes kecemasan kritikal). Selain itu, 67 peratus daripada panggilan ambulans Tahap I mendapat respon dalam masa kurang 15 minit," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata purata Zon Merah menerima 600 kes sebulan (20 kes kritikal sehari), 2,000 kes separa kritikal (66 kes sehari di Zon Kuning) dan lebih 10,000 kes bukan kritial di Zon Hijau.

"Jabatan kecemasan mempunyai 10 orang pakar, mengetuai sekumpulan 39 pegawai perubatan dan ahli paramedik dan profesional kesihatan yang lain yang bekerjasama rapat sebagai satu pasukan dengan menyediakan penjagaan pra hospital di samping perkhidmatan perubatan kecemasan," kata beliau.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata HSA juga menempatkan Jabatan Neurosurgeri yang menjalankan 649 pembedahan besar dan 317 pembedahan kecil pada 2016.

Beliau berkata hospital itu telah memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) pada 2016 apabila 99 peratus daripada pesakit yang baru didiagnosis otak atau tumor tulang pada 2016 telah menjalani pembedahan elektif dalam masa kurang tiga bulan dan 100 peratus daripada pesakit paediatrik menjalani pembedahan pengeluaran cairan celebrospinal (CSF) dengan selamat oleh neurosurgeon.

"Hari ini, semasa membuat semakan statistik bagi HSA, saya berbangga dengan hospital luar biasa dan berketahanan ini," kata Dr Noor Hisham.

-- BERNAMA