Semua 37 Ahli Parlimen DAP mengumumkan keputusan menolak pelaksanaan undang-undang hudud oleh PAS kerana ia disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rakyat negara ini yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu mengundi untuk dasar bersama, bukan untuk pelaksanaan hudud.

"Justeru, setiap 37 Ahli Parlimen DAP akan menolak Rang Undang-undang Persendirian berkenaan dengan hudud yang dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"DAP berasa kesal atas tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah Abdul Hadi yang bekerjasama dengan UMNO untuk melanggari semangat konsensus serta dasar bersama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac meluluskan rang undang-undang hudud yang hanya terpakai kepada orang Islam mukalaf apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Bagaimanapun rang undang-undang itu hanya boleh dilaksanakan selepas diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, kata Guan Eng, pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian oleh Abdul Hadi baru-baru ini dibuat tanpa terlebih dahulu dibentangkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS serta Majlis Pimpinan PR.

"DAP tidak boleh bekerjasama dengan Abdul Hadi yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah. DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Abdul Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau.

"Oleh kerana Abdul Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang.

"DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan," jelasnya.

Ujarnya lagi, UMNO juga telah menghasut PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014 semasa sidang Parlimen dengan menjanjikan sokongan Kerajaan Persekutuan.

"DAP menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melengahkan masa lagi dan membuat pendirian jelas dan tegas sama ada akan menyokong atau menolak enakmen hudud di Kelantan, serta menjelaskan peranan adun-adun UMNO Kelantan dalam menyokong rang undang-undang hudud.

"Najib juga harus menyatakan sama ada beliau menyokong Rang Undang-undang Persendirian yang dibentangkan oleh Abdul Hadi," katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP menetapkan komitmen kepada Pakatan Rakyat sebagai gabungan pentadbiran yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.

Mesyuarat itu juga menetapkan pendirian bahawa semua parti komponen Pakatan Rakyat harus berpegang kepada semangat Dasar Bersama melalui muafakat yang berkisar pada amanah dan sifat saling menghormati dalam Majlis Pimpinan PR.