Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355- Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengenai pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah, hari ini buat pertama kalinya dibenarkan untuk dibentangkan di sidang Dewan Rakyat, selepas ia dipercepatkan untuk dibahaskan.

Usul untuk mempercepatkan RUU itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina di bawah Peraturan Mesyuarat 14(2) supaya ia dapat dibentangkan di persidangan hari ini

Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan RUU dibentangkan selepas lebih suara Ahli-Ahli Parlimen bersetuju membahaskannya menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1).

Namun demikian, pembawa usul RUU tersebut, iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengejutkan dewan persidangan apabila memohon supaya usul itu ditangguhkan.

"Saya mohon supaya usul ini ditangguhkan dan dibawa ke mesyuarat akan datang mengikut Peraturan Mesyuarat 15 (5)," katanya semasa persidangan dewan hari ini.

RUU Persendirian itu hari ini muncul semula dalam kertas perintah Parlimen.

Hari ini merupakan hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.

RUU itu, disenaraikan sebagai agenda No 15, iaitu yang terakhir dalam kertas perintah Parlimen.

RUU itu pernah dicadangkan oleh Abdul Hadi pada 7 April dan 17 Jun 2015 di Dewan Rakyat tetapi ia tidak dibahaskan.

RUU itu bertujuan untuk meminda undang-undang persekutuan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, untuk pelaksanaan undang-undang Hudud untuk orang beragama Islam di Kelantan dan negeri-negeri lain.