Mahkamah Tinggi akan mendengar hujah lisan dari pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini dan esok bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 27 Ogos lalu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazal menetapkan 22 dan 23 Oktober mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan serta memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah bertulis mereka pada 24 Sept lalu.

Mohd Nazlan membuat ketetapan itu selepas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bahawa pendakwaan menutup kesnya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pemeriksaan balas saksi terakhir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger berhubung transaksi wang Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, merupakan perdana menteri pertama negara yang dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.