Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Hujahan kes rasuah Isa Samad ditangguh ke 21 April

Hujahan kes rasuah Isa Samad ditangguh ke 21 April
Pada 14 Jan lepas, pihak pendakwaan menutup kes itu selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hujahan kes bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah, berjumlah lebih RM3 juta, yang sepatutnya didengar Rabu ini (8 April) di Mahkamah Tinggi di sini, ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mengendalikan pendakwaan memberitahu Bernama, pendengaran hujahan kes itu ditetapkan pada tarikh baharu iaitu 21 April ini.
Pertukaran tarikh itu susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pada 14 Jan lepas, pihak pendakwaan menutup kes itu selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Mohd Isa, 71, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April, 2014 dan 15 Dis, 2015.

Pertuduhan pecah amanah dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan rasuah adalah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA