Lantaran harga getah yang jatuh merudum, golongan penoreh perlu mencari sumber kewangan alternatif demi memastikan kelangsungan hidup.

Bagi Ismail Ibrahim, 62, langkahnya mengusahakan tanaman cendawan Volvariella di kebun getah kini membuahkan hasil lumayan.

Kini Ismail mampu menjana pendapatan tambahan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, di samping pendapatan sebagai penoreh sekitar RM1,000 sebulan.

Ismail memeriksa batas tanaman cendawannya.

"Kalau ikut pak cik itu nak ajak kawan-kawan buat sebenarnya, nak menambah pendapatan orang kampung.

"Menoreh musim hujan tak dapat dengan harga sekerap sekarang ni RM2.10 sekilo. Kalau tanam cendawan, 5 kilogram dah dapat RM75."

Ismail memberi penerangan tentang penanaman cendawannya kepada wartawan.

Selain itu, menurut Ismail, penjagaan tanaman itu juga tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua bulan untuk mengutip hasilnya.

Jelas penoreh getah dari Kampung Musa, dekat Padang Terap, Kedah itu, bulan pertama melibatkan proses penyediaan medium tanaman dan menabur benih, manakala bulan seterusnya untuk mengutip hasil setiap hari.

Cendawan yang diusahakan Ismail.

Ismail turut mencadangkan tanaman ini dimanfaatkan pekebun kecil getah lain kerana selain harganya yang tinggi, ia juga tidak banyak saingan di pasaran.

Ia juga amat mudah diusahakan kerana hanya menggunakan bahan buangan daripada pokok kelapa sawit.

Cendawan Volvariella ini dijual pada harga RM10 hingga RM15 sekilogram dan mendapat permintaan tinggi terutama daripada penjual sayur dan pengusaha restoran.

Cendawan yang diusahakan Ismail.

Dengan modal permulaan RM1,000, kini Ismail mampu menghasilkan di antara 15 dan 20 kilogram cendawan setiap hari.

Memandang potensinya yang cukup baik untuk menjana pendapatan, Ismail bercadang untuk meluaskan lagi tanaman cendawan itu di kebun getahnya yang berkeluasan 0.3 hektar.

Cendawan yang diusahakan Ismail.

Sementara itu, menurut pegawai pertanian Daerah Padang Terap, Mohamad Yuzaidi Azmi, tanaman cendawan Volvariella itu mula diperkenalkan pada 2015 kepada pekebun kecil getah sebagai tanaman alternatif untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Menurutnya usaha yang dilakukan Ismail sejak dua tahun lalu menjadi contoh kepada penoreh lain untuk mencari sumber pendapatan tambahan terutama pada musim tengkujuh ketika pokok getah tidak dapat ditoreh.