Tutup

Hujan kurangkan jerebu di Sarawak

Hujan kurangkan jerebu di Sarawak
Tinjauan Astro AWANI di Kuching pagi ini mendapati kualiti udara semakin baik susulan hujan yang turun tengah malam tadi dan pagi ini. - Astro AWANI
KUCHING: Hujan yang turun bermula jam 12 tengah malam tadi selama dua jam, dan sekitar jam 7 pagi ini, menyumbang kepada penurunan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Barat Sarawak.

Berdasarkan rekod stesen cerapan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sehingga jam 7 pagi tadi, Sri Aman mencatatkan bacaan menurun 170, Kuching 156 manakala Samarahan meningkat kepada 140.
Keadaan ini memberi petanda positif kepada perkembangan jerebu di negeri ini untuk kembali sedia kala, atau sekurang-kurangnya membolehkan rakyat kembali menghirup udara segar pada waktu ini.

Untuk rekod, jerebu yang berlaku merupakan jerebu rentas sempadan yang berpunca dari negara jiran, dengan sehingga pagi tadi 255 titik panas dikesan di Kalimantan.
Semua sekolah yang ditutup semalam turut kembali dibuka hari ini, manakala murid-murid yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah menjalani peperiksaan mereka dengan lebih lancar dan selesa, tanpa perlu menggunakan topeng muka.

Pada petang ini pula dijadualkan sidang media khas oleh Pengerusi Jawatankuasa Bersama Penganjuran Hari Malaysia, Datuk Awang Tengah Ali Hasan berhubung status terkini penganjuran aktiviti itu.

Difahamkan aktiviti sambutan Hari Malaysia 16 September yang dijadualkan di Padang Merdeka di sini, akan dilangsungkan di Stadium Perpaduan Petra Jaya, berikutan jerebu yang melanda.

Sebelum ini, beliau secara eksklusif pernah menyatakan kepada Astro AWANI bahawa Kerajaan Sarawak mempunyai pelan alternatif jika keadaan jerebu terus memburuk.

Sementara itu, MetMalaysia turut melaporkan ribut petir akan melanda sebahagian besar wilayah Sarawak, iaitu di kawasan Limbang hingga Sibu pada hari ini.