Hujan lebat semalaman menyebabkan banjir kilat di beberapa tempat di negara ini, menjejaskan sebuah hospital, menyebabkan orang terkandas, penduduk kampung terpaksa dipindahkan dan turut menenggelamkan beberapa kereta.

Bagaimanapun, tiada yang cedera dalam banjir kilat itu.

Di Johor, Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar terjejas oleh banjir kilat yang melanda 22 kawasan rendah di Muar dan Tangkak kira-kira 10 pagi tadi berikutan hujan lebat melebihi 60 milimeter mulai 4 pagi.

Pengarah hospital pakar itu Dr Muhammad Yusof Sibert berkata banjir itu tidak menjejaskan operasi hospital dan air banjir mulai surut kira-kira 10.30 pagi.

Seramai 227 penduduk di Muar dan Tangkak dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat sejak pagi tadi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muar berkata kawasan terjejas termasuk pusat bandar Muar; Kampung Sabak Awor; Kampung Seri Menanti; Kampung Parit Tengah; Jalan Bentayan; Parit Perupok dan Kampung Dato' Seri Amar Diraja.

Di Kelantan, lebih 300 penduduk daripada 75 keluarga Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang dilaporkan terkandas selepas air Sungai Aring melimpah.

Kejadian itu juga menyebabkan jalan perhubungan utama penempatan itu ditenggelami air sedalam tiga meter sekitar 2 pagi berikutan hujan lebat sejak awal malam tadi.

Tok Batin Kampung Aring 5 Raina Anjang berkata penduduk kampung menyedari kejadian itu apabila mahu ke bandar Gua Musang kira-kira 7 pagi dan perlu menunggu sehingga 3 petang untuk air banjir surut.

Di Negeri Sembilan, seramai 308 orang daripada 72 keluarga terjejas akibat banjir kilat di beberapa kawasan iaitu Kampung Jimah Lama di Port Dickson; Kampung Bemban di Seremban; Kampung Sega Hilir dan Kampung Sega Hulu di Rembau; dan Kampung Janging di Chuah, Port Dickson.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan berkata 48 mangsa daripada tujuh keluarga di Kampung Jimah Lima dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah manakala keluarga lain tinggal bersama saudara dan 290 orang dari Kampung Sega Hilir dipindahkan ke SK Sega Hilir.

Di Pahang, lima ekspatriat yang sedang bercuti di Taman Negara, Jerantut terkejut pagi tadi selepas kereta mereka tenggelam dalam banjir kilat berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata lima kereta itu adalah antara enam kereta yang terlibat dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu. Satu lagi kereta adalah milik pekerja pusat peranginan di situ.

"Hujan berterusan menyebabkan fenomena 'kepala air' dari Sungai Kuala Tahan berlaku dan melanda kawasan itu mengakibatkan banjir kilat pagi tadi," katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata semua ekspatriat berusia antara 33 dan 52 tahun itu adalah dari Australia, Britain, China, Perancis dan Belanda, semuanya beralamat di Kuala Lumpur.

Beliau turut mengingatkan pelancong supaya sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca sebelum menyertai sebarang aktiviti air.


-BERNAMA