Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan kejadian hujan berserta ribut petir akan berlanjutan dalam tempoh satu atau dua hari akan datang.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata kejadian itu dijangka akan berlaku di sebelah petang terutama di kawasan utara Semenanjung Malaysia dan di pantai barat.

Bagaimanapun, pihaknya hanya akan mengeluarkan kenyataan amaran hujan berserta ribut petir akibat dalam tempoh tiga atau empat jam sebelum kejadian.

"Berkenaan hujan beserta ribut petir, kita (MetMalaysia) mengeluarkan amaran, namun amaran dikeluarkan dalam tiga atau empat jam sebelum ribut pertir.

"Ini kerana tempoh ribut petir ialah suatu keadaan yang tempoh hayatnya pendek dan mempunyai lokasi yang setempat sekaligus keadaan ini mengekang kita untuk mengeluarkan amaran bagi satu hari ataupun dua hari.

"Dari segi keadaan ribut petir itu sendiri memang sudah kita jangkakan akan berlaku pada sebelah petang yang agak sukar untuk kita tentukan dari arah mana, namun boleh kita katakan di sebelah utara Semenanjung dan pantai barat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut beliau, kejadian hujan berserta ribut petir itu adalah disebabkan tempoh peralihan Monsun Timur Laut yang bermula pada Mac lalu dan dijangka berakhir beberapa hari lagi.