Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menggesa kerajaan Sabah dan Sarawak untuk meminda peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan perhilitan untuk memastikan tindakan penguatkuasaan dan hukuman yang setimpal kepada penjenayah dapat dilaksanakan dengan efektif.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada mesyuarat pertama penggal hadapan.

Katanya, pindaan kepada Akta 716 itu bagaimanapun tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.

“Di Sabah dan Sarawak mereka ada enakmen mereka sendiri. Tapi saya minta kerajaan Sabah dan Sarawak untuk mengikut akta yang akan kita bawa kepada Parlimen.

“Kita akan ubah akta ini dengan meningkatkan tempoh penjara dan juga denda jika ditangkap,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tegasnya, tiba masanya untuk mengenakan hukuman yang lebih setimpal kepada penjenayah perhilitan di negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kematian seekor lagi gajah Pygmy Borneo dengan lima kesan luka disyaki akibat ditembak di sebuah ladang kelapa sawit, dekat Beluran, Sabah.

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati gajah tersebut telah mati lebih kurang enam hari lalu.

Tahun lalu, Xavier berkata, pindaan akta itu akan memasukkan hukuman penjara mandatori kepada individu yang memburu hidupan liar secara haram.