Cadangan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) akan mengenakan penalti yang tinggi terhadap pemegang lesen yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata cadangan pindaan kepada Seksyen 53 CMA itu akan memberi isyarat kuat kepada semua pemegang lesen di bawah akta tersebut yang kerajaan serius dalam usahanya untuk menguatkuasakan peruntukan yang mengawal selia sektor komunikasi dan multimedia.

"Ini termasuk usaha untuk meningkatkan kelajuan dan mengurangkan harga jalur lebar dan meningkatkan persaingan dalam industri tersebut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain Seksyen 53, Gobind berkata kementerian juga telah menyiapkan cadangan pindaan terhadap Seksyen 233 CMA.

Beliau berkata pindaan yang dicadangkan kepada Seksyen 233, yang membabitkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi yang tidak wajar, adalah untuk mengetatkan skop dan memperjelaskan jangkauannya.

Gobind berkata Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifestonya berjanji untuk berurusan dengan peruntukan zalim dalam undang-undang yang termasuk CMA.

"Seksyen 233 adalah salah satu peruntukan yang telah dikritik kerana ia terlalu luas dari segi pelaksanaan yang boleh menyebabkan penyalahgunaan.

"Terdapat juga kebimbangan terhadap penggunaannya sebagai alat untuk menyekat perbezaan pendapat politik," katanya.

Justeru, Gobind berkata pindaan yang dicadangkan akan memperkenalkan keperluan untuk bukti niat sebelum sebarang kenyataan boleh dianggap menyinggung, dengan itu menghapuskan prospek pendakwaan atau penyalahgunaan sewenang-wenangnya dalam penggunaannya.

Apabila cadangan pindaan itu siap , beliau berkata pihak kementerian akan mendapatkan pandangan kumpulan yang berkaitan sebelum memuktamadkannya dan diharap dapat dibentangkan dalam sidang parlimen yang akan datang.

-- BERNAMA