Penghukuman dikenakan atas kesalahan menganiaya haiwan yang dijatuhkan mahkamah pada Selasa, seharusnya menjadi pengajaran bagi mengelakkan perbuatan tersebut terus dilakukan pada masa hadapan kata aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, pihak berkuasa tidak seharusnya membiarkan walaupun mana-mana kes penganiayaan haiwan terlepas, kerana perbuatan tidak berperikemanusiaan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan pelakunya perlu dihukum mengikut undang-undang.

"Keputusan (kes) itu merupakan suatu yang amat penting, kerana pesalah itu merupakan orang pertama yang dikenakan hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015 sejak mula dikuatkuasakan pada Julai 2017.

"Diharapkan agar keputusan itu akan mengalakkan orang ramai melaporkan lebih banyak kes penganiayaan terhadap haiwan," katanya yang juga Penaung Persatuan Pencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SCPA) Selangor.

BACA: Lelaki campak kucing bunting ke dalam mesin dobi dihukum penjara 34 bulan

Lee membuat kenyataan tersebut berikutan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 34 bulan dan denda RM40,000 kepada seorang lelaki, selepas beliau dalam sebuah video didapati membunuh kucing dipercayai bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri.

Sementara itu, Lee berkata pihak berkuasa juga perlu mengambil makluman penghakiman tersebut dan membaiki aspek penguatkuasaan apabila menangkap haiwan terbiar di kawasan mereka.

"Saya percaya, pembunuhan, pengurungan dan menghapuskan haiwan terbiar perlu dilakukan mengikut AWA 2015.

"Mereka yang menganiaya haiwan adalah kejam dan tidak menghormati kehidupan dan saya berharap penghakiman itu akan memberikan keyakinan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk membawa lebih banyak kes penganiayaan haiwan ke mahkamah," tambahnya lagi.

Sementara itu seorang warganegara prihatin B. Krishan Singh, 68, ketika ditemui Bernama berkata hukuman yang dikenakan terhadap lelaki itu adalah setimpal, kerana haiwan juga mempunyai hak untuk hidup dan orang ramai perlu menjadikan insiden ini sebagai iktibar.

-- BERNAMA