Hutan seluas dua hektar terbakar di Kajang

Hutan seluas dua hektar terbakar di Kajang
Anggota bomba berjaya mengawal keadaan kebakaran hutan berkeluasan 2.02 hektar di sekitar Taman Bukit Mewah, Kajang, pada Khamis. Foto Bomba
KUALA LUMPUR: Hutan berkeluasan 2.02 hektar di sekitar Taman Bukit Mewah, Kajang, dekat sini, terbakar dan anggota bomba berjaya mengawal keadaan kebakaran selepas empat jam.

Kebakaran hutan berkenaan yang berlaku sekitar 6.30 petang semalam itu hanya dapat dikawal kira-kira  10.30 malam Khamis selepas bomba menggunakan kaedah waterbreak bagi memadamkan api.

Pusat Gerakan Operasi Selangor dalam kenyataan berkata, seramai 19 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Bangi, Pandan dan Cyberjaya terlibat dalam operasi pemadaman hutan berkenaan.
Menurutnya, empat jentera penyelamat (FRT), dua jentera air serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi.

"Ketika jentera pertama sampai, api di kawasan berkenaan sedang marak dan bomba menggunakan kaedah waterbreak untuk memadamkan api.

"Keadaan api sedikit sukar dikawal berikutan keadaan yang gelap... bagaimanapun kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa," katanya.

-- BERNAMA