Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ketika ini sedang mengalami masalah aliran tunai yang amat kritikal akibat kelemahan dalam tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hutang Felda berjumlah RM8.025 bilion adalah legasi kepimpinan terdahulu berikutan terlalu banyak campur tangan politik dalam urus tadbir.

Justeru, tegasnya kerajaan akan membentangkan kertas putih Felda pada persidangan Parlimen pada penggal akan datang.

"Kerajaan baharu ini komited untuk memulihkan Felda secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka-peneroka Felda, selaras dengan matlamat Akta Kemajuan Tanah 1956.

"Kerajaan yakin lembaga pengarah dan pengurusan Felda yang baru akan berpegang kepada prinsip bertanggungjawab dan urus tadbir yang tinggi demi menjayakan proses pemulihan Felda dan pembangunan Felda yang mapan.

"Untuk maksud ini, kerajaan telah memutuskan untuk membentangkan kertas putih di dalam Parlimen dalam sidang yang akan datang bagi mendedahkan situasi sebenar Felda dan juga perancangan strategik pemulihan," ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ma'mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang meminta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan proses penstrukturan Felda terkini yang dilaporkan mengalami masalah kewangan dan urus tadbir.

Tambah beliau, langkah yang sedang dilakukan bagi memperkukuh aliran tunai adalah melalui penjualan aset-aset yang tidak strategik seperti hartanah di luar dan dalam negara.

Malah, beliau memberi jaminan bahawa pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil akan dibayar kepada peneroka mengikut jadual.