Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pengurusan hutang negara yang dilakukan kerajaan pada ketika ini dibuat dengan baik.

Malah, beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa secara jelas hutang Malaysia semakin menguncup dengan kedudukan 50.8 peratus berbanding 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau pada masa sama menegaskan, kemampuan kerajaan membayar balik hutang tidak boleh dipersoal mana-mana pihak.

"Hutang negara daripada jumlah keseluruhan semakin menguncup. Soalnya bukan saiz hutang, tetapi kemampuan kita (kerajaan) bayar balik.

"Kalau dilihat kepada Singapura, hutang Singapura lebih besar lagi, tetapi kemampuannya untuk membayar balik hutang itu tetap ada.
"Kita mempunyai komitmen bayaran balik (hutang) yang tak boleh dipersoalkan kerana badan-badan penarafan antarabangsa telah meletakkan Malaysia dalam kategori A.

"Jelas, kewangan negara termasuk hutang memang diuruskan dengan baik," kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang bertanyakan sama ada hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi pengaruh kepada hutang negara.

Dewan Rakyat sebelum itu kecoh apabila soalan yang dikemukakan Mohamed Azmin mendapat bantahan daripada beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) apabila beliau mengaitkan hutang negara dengan 1MDB.