Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan bahawa ahli KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 bermula 1 April 2020. Ahli dijangka menerima wang pengeluaran tersebut melalui akaun bank masing-masing pada 1 Mei 2020.

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, “Diharapkan kemudahan i-Lestari akan memberikan kelegaan dari segi kewangan kepada mereka yang terjejas dalam keadaan semasa yang tidak menentu.

Sebagai sebuah institusi dana persaraan, KWSP perlu mengimbangi mandatnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli dan pada masa yang sama menjaga kesejahteraan mereka dalam waktu getir sebegini. "

Tambah beliau, kelonggaran untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 ahli akan memerlukan pindaan kepada Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6).

Katanya lagi, “Kami meletakkan i-Lestari sebagai keutamaan untuk dilancarkan secepat mungkin. Emel khas bagi i-Lestari juga telah disediakan iaitu [email protected] untuk ahli menghantar sebarang pertanyaan yang berkaitan. Soalan berserta maklum balas ini kemudiannya akan dikemaskini dalam senarai soalan lazim (FAQ) sedia ada yang telah dimuat naik ke laman sesawang www.kwsp.gov.my.”

Alizakri juga mengingatkan ahli tentang kepentingan menggunakan pertimbangan wajar apabila membaca tentang sesuatu berita atau paparan media sosial.

"Terdapat pelbagai unsur penipuan dan berita palsu yang disebarkan terutamanya melalui WhatsApp, Facebook dan Twitter. Para ahli diingatkan bahawa KWSP hanya membuat makluman kepada ahli melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi. "