Ibu bapa harus lebih peka mendengar dan berani bertindak dalam menangani kes penderaan seksual kanak-kanak.

Pakar Pediatrik Hospital Sungai Buloh Dr Zahilah Filzah berkata kebanyakan pemangsa seksual kanak-kanak adalah ahli keluarga atau kenalan rapat mangsa.

Dr Zahilah yang menjadi tetamu dalam Hari Ini 8 Malam pada Isnin berkata, dalam kebanyakan kes yang diterimanya, ibu mangsa tidak mahu membuat tindakan lanjut apabila mengetahui pemangsa adalah bapa kandung atau ahli keluarga mangsa sendiri.

Tambahnya kebanyakan mangsa tidak memberitahu perkara sebenar kerana ahli keluarga tidak mempercayai mereka dan keliru dengan keadaan.

Jelasnya, jabatannya di Hospital Sungai Buloh menerima dari dua sehingga tiga kes penderaan seksual seminggu atau satu kes selang dua minggu.

"Satu perkara yang saya perhatikan melalui pengalaman kebanyakan mangsa datang membuat aduan selepas bertahun-tahun atau berbulan-bulan lamanya.

"Perkara disimpan begitu lama bukan kerana mereka tidak pernah memberitahu ahli keluarga tetapi sebab mereka beritahu tetapi tiada orang yang percaya termasuk ibu yang tidak mahu terima perkara itu dilakukan suami atau datuknya," katanya.

Dr Zahilah berkata, salah satu salah faham masyarakat adalah merasakan jika pemeriksaan fizikal dengan doktor tidak menunjukkan sebaran luka atau kesan penetrasi.

"Kalau pemeriksaan menunjukkan tanda normal maksudnya tiada penderaan jadi itu tidak benar. Penderaan tidak semestinya melibatkan penusukan penis. Ia termasuk diraba, ditunjuk pornografi sebagainya. Lebih lagi jika mangsa semakin membesar dan sudah mencapai 'puberty' atau akil baligh maka selaput daranya akan mengikut dan tidak koyak," katanya.

Dr Zahilah turut berkongsi pengalaman di mana dia terpaksa berdepan dengan pesakit yang trauma dan mengalami gangguan emosi dan psikologi kerana penderaan seksual.

"Banyak ibu bapa merasakan tidak ada kesan emosi atau psikologi maka tak apalah. Sebenarnya bila meningkat dewasa mangsa akan tahu bahawa mereka telah dianiaya dan ini menyebabkan berlakunya kemurungan dan kesedihan.

"Saya ingat satu kes di mana mangsa didera secara seksual oleh ayahnya dan masih terpaksa berdepan dengan ayahnya setiap hari. Dia begitu murung sehingga mahu membunuh diri.

"Dan seorang lagi didera ayahnya, satu lagi kes yang saya tidak boleh lupa kerana dia bertanya kepada saya sama ada dia akan menjadi pelacur suatu hari nanti kerana sudah tidak suci dan merasakan dirinya kotor," katanya.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 43 peratus dari pemangsa penderaan seksual kanak-kanak adalah bapa atau bapa tiri mangsa.