Sepasang suami isteri mendakwa kakitangan sebuah pusat rawatan di sini melakukan kecuaian sehingga bayi mereka tertukar dengan bayi pasangan lain selepas bersalin di pusat rawatan itu.

Menurut bapa bayi berkenaan, Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, isterinya, Mahani Zakaria, 36, telah dimasukkan ke pusat rawatan terbabit bagi melahirkan anak kelima mereka pada jam 4 petang, Selasa.

Nik Ahmad mendakwa yang beliau kesal dan terkilan dengan kejadian berkenaan, apatah lagi dia mengetahui insiden terbabit sehari selepas isterinya bersalin, sebaik menerima panggilan daripada pihak pusat rawatan terbabit pada lewat petang semalam.

"Kami mendapat panggilan daripada pusat rawatan ketika waktu Maghrib iaitu kira-kira 7.30 malam. Saya pun agak terkejut apabila tengok tanda tag di kaki bayi memang nama orang lain.

"Kalau nak dikira logiknya, sepanjang satu hari masa di hospital dalam wad berkenaan isteri saya memegang bayi berkenaan dan menyusukannya sehingga pulang ke rumah. Bagi menyusu sehingga kenyang, bayi itu sudah boleh menjadi anak susuan.

"Namun kami tidak sedar dan hospital pun tidak sedar sehinggalah pasangan satu lagi itu memberitahu bayi berkenaan bukan anaknya dan memberitahu hospital. Mereka kemudiannya ke hospital untuk tunjuk bukti bahawa bayi kami sudah tertukar," tambah beliau.

Berikutan insiden berkenaan, Mahani, terpaksa dimasukkan semula ke pusat rawatan terbabit bagi tujuan pengambilan sampel darah untuk ujian DNA.

Ekoran kecuaian pihak pusat rawatan berkenaan, Mahani kini mengakui merasa trauma perkara seumpama itu akan menimpa pasangan lain.

"Kesilapan berkenaan tidak boleh berlaku dalam bidang ni. Kalau bidang lain itu tidak apa namun kalau bidang memang tidak boleh ada kesilapan.

"Kalau ada kesilapan bermakna awak tidak perlu duduk kerja di sini dan perlu diambil tindakan. Kalau minta maaf macam itu sahaja, bagi saya semua orang boleh minta maaf. Jadi pengajaran itu kena ada, kalau tidak, bayangkan kalau saya tidak perasan dan dia pun tidak perasan, apa akan jadi?" tambah Mahani.

Susulan insiden itu, Nik Ahmad Sabri turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu kira-kira jam 12 tengah malam tadi dengan mendakwa kejadian itu berpunca daripada kecuaian pihak pusat rawatan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitenden Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, kes dianggap selesai setelah pengadu menukar kembali bayi masing-masing.