Ibu kepada kembar tiga yang terbabit kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Desa Permai, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, kira-kira 1.40 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, meninggal dunia selepas dua hari dirawat di hospital itu.

"Wan Suhana mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman dan kaki, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ. Kematian mangsa menjadikan lima maut dalam kemalangan yang berlaku pada 3 petang Sabtu lepas itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lagi mangsa iaitu adik ipar Wan Suhana, Nursyuhaidah Jusoh, 23, masih menerima rawatan di HTJ, manakala seorang daripada tiga anak kembar mangsa, Muhammad Fahimi berusia setahun, telah pun dibenarkan keluar wad.

Sabtu lepas, suami Wan Suhana iaitu Mohd Fadzil Jusoh, 37, dua anak kembar mereka iaitu Muhammad Farhan dan Nur Farhana serta ibu Mohd Fadzil, Nazipah Chik, 60, meninggal dunia pada hari kejadian.

Kemalangan itu berlaku apabila Proton Saga dinaiki enam sekeluarga terbabit yang dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke Johor bertembung dengan Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

-- BERNAMA