Seorang wanita ditemui maut manakala anak lelakinya dilaporkan kritikal akibat terhidu asap di bilik sebuah hotel di Jalan Macalister, George Town petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, memaklumkan dua beranak itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil oleh pekerja hotel terbabit kira-kira jam 2 petang sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, wanita dikenali sebagai Lim Bee Tin, 28 tahun dan anak lelakinya, Ong Chee Khai, 10 tahun telah mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada jam 11 pagi Isnin dan sepatutnya mendaftar keluar jam 12 tengh hari tadi.

Bagaimanapun sehingga jam 2 petang, mangsa yang bekerja sebagai jurujual itu tidak berbuat demikian menyebabkan pekerja hotel terpaksa memanggil wanita itu di biliknya.

"Namun panggilan tidak berjawab memaksa mereka memecah pintu bilik dan terkejut apabila bilik berkenaan berbau asap manakala dua beranak itu terbaring tidak sedarkan diri di atas katil," katanya.

Tambah beliau, wanita itu disahkan meninggal dunia manakala anaknya pula dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ujar Che Zaimani, hasil siasatan di bilik hotel itu menemui arang dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa membakar sejenis dadah dan mengambil barang terlarang itu secara berlebihan.

"Siasatan awal ke atas mayat mangsa mendapati tiada kesan cedera dan dipercayai maut akibat terhidu asap," katanya.

Che Zaimani berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.