Ibu kepada pesilat negara, Mohd Taqiyuddin Hamid maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 90 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu menyebabkan Radziyah Din, 70 tahun, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Perdana dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Maran.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta itu, Ahmad Shahir Hamid, 40, hilang kawalan kemudian telah bergesel dengan sebuah treler dari arah bertentangan.

"Kereta tersebut telah terbabas dan kemudian memasuki ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori lain, " dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat daripada pelanggaran itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu cedera di muka dan kepala.

"Pemandu dan kelindan lori berkenaan juga mengalami kecederaan di muka dan kepala manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jengka untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga proses pengebumian.

“Kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.