Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman enam sebatan dan penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan persediaan melacurkan diri, di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, pada Khamis.

Hakim Rosdi Harun memerintahkan hukuman sebat itu dilaksanakan di penjara tempat tertuduh ditahan.

Pelaksanaan hukuman sebatan syariah itu dilakukan selepas tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan dilakukan oleh tertuduh.

Hakim Syarie ketika membacakan hukuman turut menyatakan kekecewaannya terhadap sikap tertuduh berusia 30 tahun itu yang tidak menunjukkan sebarang tanda keinsafan sepanjang prosiding dijalankan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Tertuduh ditahan bersama seorang pelanggan pada 17 September di antara 11.20 malam hingga 11.45 malam di sebuah hotel di bandar raya Kuala Terengganu.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan penguatkuasa syariah daerah di bilik bernombor 507 di hotel berkenaan dan merampas 11 barangan yang disahkan milik wanita itu termasuk kondom, minyak pelincir, coli dan seluar dalam.

Difahamkan tertuduh menerima bayaran sebanyak RM100 daripada pelanggan untuk melakukan perbuatan itu pada hari sama ketika ditahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Terengganu Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.