Seorang ibu tunggal dirogol dan dikurung oleh bekas kekasihnya lebih 10 jam di dalam stor di Kelana Jaya sebelum wanita itu berjaya melepaskan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Zani Che Din berkata mangsa berusia 31 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan ditarik masuk ke dalam kereta jenis BMW oleh bekas teman lelakinya kira-kira pukul 7 malam kelmarin dan dibawa ke sebuah bangunan di Kelana Jaya.

“Di bangunan itu, mangsa telah dipukul dan dirogol oleh bekas teman lelakinya. Lelaki terbabit kemudiannya membawa mangsa ke sebuah stor dan mengikat tangan dan kaki menggunakan dengan tali

“Mangsa kemudian berjaya melepaskan diri kira-kira jam 6 pagi dan mendapatkan bantuan orang ramai yang berada di kawasan itu sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan tersebut, polis menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 30 dan 34 tahun.

Tambah Mohd Zani, siasatan awal mendapati suspek telah mengenali mangsa pada 2016 dan berpisah tahun lalu.

Kedua-dua suspek kini direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.