Putrajaya mengambil tanggungjawab besar menyelamatkan negara daripada kumpulan yang cuba mengambil kesempatan dan mencetuskan suasana tidak harmoni di dalam negara.

Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata langkah itu terpaksa diambil apabila kerajaan memutuskan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) baru-baru ini.

“Mereka yang cuba mencetuskan keadaan tidak baik itu memang sikap UMNO yang rasis yang ambil kesempatan dalam isu ini.

“Tapi Kabinet ambil tanggungjawab besar selamatkan negara ini daripada kumpulan rasis seperti itu,” katanya ketika ditemui media di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai polemik ICERD yang dilihat meruncing sebelum ini serta tindakan yang diambil Pas dan sekutunya UMNO menganjurkan perhimpunan mega pada 8 Disember.

“Rakyat akan nilai tanggungjawab kita nak menyelamatkan negara dan beritahu kumpulan ini memang sengaja nak ambil kesempatan,” kata Salahuddin.