Di Kuantan, sebuah iklan billboard ala-ala pilihan raya umum yang digunakan untuk mempromosi perkhidmatan membaiki komputer riba, mendapat perhatian ramai.

Ahmad Firdaus Ahmad Fadzil, 31 tahun, mendapat idea tersebut ketika masyarakat mula memperkatakan mengenai pembubaran parlimen dan pilihan raya.

Ahmad Firdaus, pemilik AF Computer Centre, kedai yang memberi perkhidmatan membaiki komputer riba, berkongsi idea tersebut bersama isterinya yang membantu membuat lakaran reka bentuk iklan itu.

"Saya tengok Facebook malam itu, orang ramai bercerita tentang parlimen akan dibubarkan. Dalam kepala, saya fikir lepas ni mesti parti-parti politik akan keluarkan manifesto dan poster.

"Jadi sebagai pemilik bisnes saya nak naikkan poster saya juga. Saya minta isteri saya buat rekaan, selepas itu terus naikkannya. Billboard iklan baik pulih komputer riba ala pilihan raya," katanya.

Kata Ahmad Firdaus lagi, idea tersebut telah membantu mempromosikan perkhidmatannya sehingga menjadi tular dalam masa singkat dan berjaya meningkatkan jualannya sehingga 30 peratus dalam tempoh hanya sebulan.

"Saya dapati memang kedua-dua cawangan di Pekan dan Kuantan mengalami kenaikan jumlah pelanggan daripada 20 hingga 30 peratus dan jualan juga meningkat juga daripada bulan lepas," tambahnya.

Setakat ini, hanya satu iklan billboard yang dipasang namun apabila melihat kesan positif, dia merancang untuk memasang satu lagi dan kali ini di daerah Pekan.

Bekas penuntut Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahaya Ahmad di Pekan itu memulakan perniagaan dalam bidang IT sejak tujuh tahun lalu dan kini mempunyai dua cawangan, dengan 17 kakitangan.

Menjalankan perkhidmatan membaiki komputer sebagai perniagaan utama selain menjual komputer serta aksesori dan membekal alat-alat ganti komputer, Ahmad Firdaus bercita-cita mahu membuka cawangan di setiap daerah di Pahang berkonsepkan francais.