Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang dilantik sebagai pemantau Pilihan Raya Umum ke-13 merumuskan pilihan raya itu agak bebas tetapi tidak adil.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan berkata, biarpun tempoh kempen dan proses pilihan raya itu berjalan dengan lancar serta hanya berdepan sedikit isu besar, ia terjejas kerana isu-isu utama yang telah berbangkit sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak tertakluk dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Isu-isu ini dihadapi oleh parti-parti politik bukan Barisan Nasional dan mewujudkan keadaan yang tidak sama rata.

"Atas alasan itu, kami merumuskan bahawa PRU-13 agak bebas tetapi tidak adil," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Antara isu itu termasuk liputan media yang cenderung memihak kepada BN serta keraguan umum terhadap kebebasan dan kecekapan SPR yang dilihat sebagai sebahagian daripada perkhidmatan awam.

Menurut Wan Saiful, SPR secara umumnya telah berjaya memastikan keseluruhan proses antara hari penamaan calon dan hari pengundian berjalan lancar tanpa kendala.

Beliau juga melihat aduan mengenai pengundi hantu dan dakwat kekal yang boleh tanggal adalah isu penting yang perlu ditangani.

"Bagaimanapun (IDEAS) melihat dua isu ini dalam konteks yang lebih luas iaitu kurang percaya kepada integriti daftar pengundi dan bukan hanya kelemahan SPR," katanya.

Bagi menangani punca sebenar masalah itu, IDEAS berpendapat perhatian serius perlu diberikan untuk memperbaiki integriti daftar pengundi.

"Ini termasuk memperbaiki integriti pangkalan maklumat Jabatan Pendaftaran Nasional yang bukan dalam bidang kuasa SPR," katanya.

IDEAS dilantik sebagai pemantau PRU-13 oleh SPR bersama 17 badan bukan kerajaan yang lain. Mandatnya ialah untuk memantau, merekod, menganalisa dan melaporkan perkembangan membawa kepada PRU-13 dan mengemukakan cadangan untuk memperbaiki keadaan.

Proses itu dijalankan dengan bantuan 325 pemantau yang dikerah ke 99 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia dan enam pusat pengundian luar negara.

Ia menggunakan Deklarasi Kesatuan Antara Parlimen untuk Pilihan Raya Bebas dan Adil sebagai piawai pemantauan.

Klik untuk ikuti laporan penuh IDEAS