Identiti lelaki dalam video intim sejenis yang pernah menggemparkan negara beberapa bulan lalu akan diketahui sebelum hujung tahun ini.

Ketika ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menanti laporan analisis siasatan forensik yang dilakukan oleh pakar di Amerika Syarikat (AS).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, pihaknya optimis laporan berkenaan akan diperoleh sebelum hujung tahun ini.

“Laporan itu (kelak) akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara setelah kita terimanya nanti,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

PDRM telah menghantar wakil ke AS baru-baru ini bagi mendapatkan analisisi daripada badan bebas untuk memastikan ketulenan video berkenaan selain melalui proses pengecaman wajah pelaku video intim itu.

Pada Jun lalu, negara digemparkan dengan penyebaran sedutan video sepasang lelaki mengadakan hubungan intim.

Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ketika itu merupakan Setiausaha Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat pengakuan secara terbuka yang dia merupakan seorang daripada pelaku dalam video itu.

Dia juga mendakwa, pasangannya dalam video intim itu ialah seorang menteri kanan yang juga pemimpin tertinggi parti politik.

Tidak lama kemudian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula mengesahkan bahawa video berkenaan adalah tulen.